KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) hari ini menafikan wujud pembalakan haram di Batu 42 jalan Sibu Selangau, Sibu seperti dilaporkan media semalam.
Dalam satu kenyataan, JHS menyatakan kesemua kenyataan kesalahan hutan dan pembalakan haram seperti dinyatakan adalah tidak betul.
“Pengesahan ini berdasarkan siasatan lanjut yang dijalankan dengan terperinci oleh Pegawai-pegawai Penguatkuasa Jabatan Hutan Sarawak pada 19 Januari 2023 (semalam) sebaik menerima serahan kes tersebut.
“Berdasarkan perkara yang termaktub dalam Ordinan Hutan 2015 telah mengesahkan bahawa kerja-kerja pembalakan di kawasan tersebut dilaksanakan oleh pelesen yang sah.
“Seterusnya, lokasi kayu tangkapan adalah berada dalam kawasan ‘Place of Royalty Marking’ yang diluluskan bagi pelesen berkenaan dan pelesen ini telah diberi kelulusan yang sah oleh jabatan untuk melaksanakan tebangan tersebut.
“Berdasarkan pengesahan ini, bermakna kayu-kayu tersebut adalah hasil daripada aktiviti pembalakan yang sah,” katanya.
Laporan media semalam memetik Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden Polis (DSP) Muhamad Rizal Alias sebagai berkata bahawa Batalion 10 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sibu merampas 390 batang kayu balak pelbagai saiz di kawasan pinggir hutan di Selangau, petang kelmarin.
Balak itu dikatakan tidak mempunyai cop Jabatan Hutan dan disyaki hasil aktiviti pembalakan tanpa permit yang sah. PGA turut merampas dua jentolak, tiga jengkaut, sebuah trak dan dua lori.
Bagaimanapun kenyataan media JHS hari ini mengingatkan semua agensi penguatkuasaan yang membantu dalam penguatkuasaan kesalahan hutan agar merujuk kepada JHS terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sesuatu kenyataan mengenai tangkapan masing-masing.
Katanya, perkara ini telah dipersetujui oleh semua ahli mesyuarat dalam mesyuarat Pasukan Petugas Pembalakan Haram Negeri yang dipengerusikan Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan selaku Timbalan Premier Sarawak, Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan.
Oleh SHAHRUL QAIZAT