KUCHING: Peruntukan khas yang diberikan kepada Sarawak berdasarkan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kini ditingkatkan kepada RM300 juta setahun berbanding RM16 juta yang diterima sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu diperuntukkan sebagai langkah awal bagi menyelesaikan tuntutan mengikut Perkara 112D sebelum formula awal itu diperinci serta dicerakinkan semula supaya ia dapat terus diguna pakai.
“Penelitian formula ini secara lanjut diperlukan untuk memastikan Sarawak dan juga Sabah mendapatkan peruntukan yang wajar pada masa depan.
“Untuk peringkat awal, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menekankan penetapan satu kaedah atau formula yang jelas, dan saya serta ahli-ahli mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 telah bersetuju untuk mendapatkan formula yang jelas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pelaksanaan Tindakan MA63 di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Petra Jaya di sini hari ini.
Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.
Anwar berkata, penetapan formula yang betul akan membolehkan pemberian peruntukan khas itu tidak terikat dengan jumlah yang ditetapkan pada sesuatu masa sahaja, bahkan ia juga mengambil kira kedudukan kewangan negara.
“Formula ini harus ditetapkan dengan lebih teliti. Sekiranya Sarawak hanya setuju begitu sahaja, dia akan tertakluk kepada jumlah yang ditetapkan ini.
“Jadi, berdasarkan Perkara 112D, formula ini mesti terikat. Kalau kerajaan tidak ada upaya seperti mana sekarang, itu Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah sememangnya sebut jelas.
“Cuma tidaklah kita hanya berupaya bagi RM16 juta setahun. Ia seolah mempersendakan tafsiran terhadap perjanjian (MA63) tersebut,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN