KUCHING: Setiausaha kewangan negeri, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar dilantik sebagai wakil Sarawak dalam Lembaga Pengarah untuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelantikan itu berkuat kuasa hari ini.
“Hari ini saya telah melantik Setiausaha Kewangan Sarawak sebagai wakil kerajaan Sarawak dalam lembaga pengarah LHDN berkuat kuasa mulai hari ini.
“Permintaan ini telah lama diminta oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan saya tidak fikir ada sebarang isu teknikal.
“Apa yang paling penting orang yang akan dilantik mesti memenuhi dua syarat iaitu mempunyai profesionalisme dan pengalaman yang layak untuk membantu LHDN,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pelaksanaan Tindakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Petra Jaya di sini hari ini.
Katanya, Sabah sudah mempunyai wakil bukan kerajaan dalam Lembaga LHDN.
Menjawab pertanyaan wartawan, Anwar menjelaskan bahawa pelantikan penjawat awam ke Lembaga LHDN tidak menjadi masalah selagi wakil itu telah memenuhi dua kriteria tersebut.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof menjelaskan bahawa Akta LHDN1995 menyatakan perlu ada wakil kerajaan dan bukan kerajaan.
“Bagaimanapun, kerusi wakil kerajaan (LHDN) telah dipenuhi. Justeru, salah seorang wakil akan digantikan dengan wakil dari Sarawak.
“Pindaan itu masih akan dijalankan di Parlimen,” katanya.
Turut hadir, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Armizan Mohd Ali.
Oleh NUR AIN OTSMAN