SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) perlu memperkenalkan lebih banyak program baharu berasaskan seni dan sosial, selain teknologi.
Pengerusinya, Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, ini bagi menarik lebih ramai pelajar datang untuk belajar dan usaha menjadikan UTS sebagai universiti pilihan nombor satu rakyat Sarawak.
Menurutnya, perkara itu telah dibincangkan dengan Naib Canselor UTS Profesor Datuk Dr Khairuddin Abd Hamid dan beliau percaya program itu mampu diwujudkan.
“Setiap program harus relevan dan sesuai untuk masa depan Sarawak. Program yang diperkenalkan bukan sahaja berasaskan teknologi, tetapi program berkaitan seni dan sosial.
“Saya difahamkan bahawa program kejuruteraan marin akan bermula di UTS tidak lama lagi dan ini sesuatu perkembangan yang amat baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan ‘Extension Online Subscription of Press Reader & Britannica to Kolej Laila Taib (KLT) and Woodlands International School (WIS) dan Majlis Pelancaran Program Baharu Akademik UTS, hari ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat itu berkata, peningkatan 200 peratus pelajar yang belajar di UTS pada tahun lalu adalah disebabkan yurannya yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk golongan sasaran.
“UTS tidak boleh lagi bergantung kepada perkara tersebut, UTS perlu melihat ke hadapan untuk menarik lebih ramai lagi pelajar. Fasiliti yang lengkap tidak bermakna jika tiada pelajar datang pelajar.
“Ada universiti di luar negara yang menghadapi masalah fasiliti tetapi menerima pelajar yang ramai disebabkan programnya yang mampu menarik minat pelajar,” katanya.
Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata, persaingan universiti bukannya mudah apatah lagi UTS adalah sebuah universiti baharu di Sarawak.
“Untuk menjadikan UTS sebagai sebuah universiti pilihan, kakitangan dan warga kerjanya dibawah kepemimpinan Dr Khairuddin perlu bekerja keras bagi menarik pelajar tempatan terlebih dahulu sebelum pelajar dari tempat lain.
“Kita kena menarik pelajar tempatan dengan program akademik kita yang harus relevan dengan masa depan Sarawak.
“Saya menyasarkan UTS pada kali ini adalah untuk menarik lebih ramai pelajar tempatan untuk datang belajar sini,” katanya.
Beliau turut menyifatkan ‘Extension Online Subscription of Press Reader & Britannica adalah sesuatu yang baik dalam pembacaan digital untuk mendidik pelajar menggunakan teknologi selain, bahan bacaan secara manual.
“Pengetahuan tidak datang begitu sahaja tanpa membaca. Bahan bacaan seperti ini amat digalakkan di institusi-institusi kita termasuk KLT dan WIS kerana ia memberi manfaat dari segi berkongsi maklumat untuk kebaikan dan faedah bersama antara kita semua,” katanya.
Press reader itu mengandungi 7,000 akhbar dan majalah yang mempunyai lebih 60 bahasa berbentuk digital melalui aplikasi iOS, Windows, Mac dan sebagainya untuk dijadikan bahan bacaan ketiga-tiga institusi tersebut.
Pada program akademik baharu yang dilancarkan oleh UTS itu ialah Master Of Construction Management, Research Programmes dan Bachelor Of Mobile Game Development (Honours).
Turut hadir ialah Naib Canselor UTS Profesor Datuk Dr Khairuddin Abd Hamid serta yang lain.
Oleh AKUN GIMAN