PARIS, Perancis, 5 November: Bank serantau Perancis, Credit Mutuel Arkea, memaklumkan bahawa pihaknya menjadi mangsa serangan siber yang membolehkan transaksi penipuan berjumlah kira-kira 100 juta euro (AS$112 juta) dilakukan.
Bank itu berkata, dalam serangan yang telah berjaya “dibendung” itu, penggodam memperoleh akses kepada akaun milik Arkea untuk memindahkan wang ke bank lain, bukannya akaun pelanggan yang tidak mengalami sebarang kerugian.
Arkea menambah bahawa dana yang dicuri itu kemudiannya ditukarkan kepada mata wang kripto menerusi platform khusus. Bagaimanapun, sebahagian daripada dana berkenaan berjaya disekat, manakala usaha lain sedang dilakukan untuk mendapatkan semula wang tersebut.
Arkea berkata pihaknya menolak kemungkinan pemindahan wang itu berpunca daripada kesilapan manusia dan menyifatkan kejadian berkenaan sebagai “serangan canggih yang dilakukan pihak luar”.
Institusi kewangan itu tidak mendedahkan secara terperinci bagaimana serangan tersebut dilakukan atau pihak yang mungkin bertanggungjawab.
Dalam kenyataan kepada AFP, Pejabat Pendakwa Raya Paris memaklumkan bahawa siasatan rasmi telah dibuka.
Menurut pejabat itu, siasatan berkenaan melibatkan “serangan terhadap sistem pemprosesan data automatik yang dilakukan oleh kumpulan terancang”.
Bank berkenaan enggan mengesahkan angka kerugian sebanyak AS$133 juta seperti yang dilaporkan akhbar Le Telegramme, namun mengesahkan skala kerugian tersebut.
“Jumlah dana yang terjejas akibat serangan itu, yang masih dalam penilaian, tidak … sehingga menjejaskan kesihatan kewangan dan kekukuhan kumpulan ini,” katanya.
Bank berkenaan mencatatkan keuntungan bersih sebanyak 230 juta euro pada separuh pertama tahun ini.
ZachXBT, seorang penyiasat bebas yang pakar dalam menjejaki aliran dana menerusi teknologi rantaian blok (blockchain) yang menjadi asas kepada transaksi mata wang kripto, mendedahkan penipuan itu menerusi akaun media sosialnya awal minggu ini.
Penyiasat dalam talian yang tidak mendedahkan identitinya itu berkata, dana yang dicuri telah disalurkan menerusi beberapa akaun yang dibuka di platform pertukaran mata wang kripto. Foto AFP




