KUCHING: Kejohanan Catur Antarabangsa Lions Malaysia ke-3 untuk Orang Kurang Upaya (OKU) akan diadakan pada 29 Januari ini, dianjurkan 12 Kelab Lions Kuching dan Serian.
Gabenor Daerah 308-A2 Kelab Lions, Kapitan Connie Loh berkata semangat mencintai catur dalam kumpulan orang istimewa ini memberikan Lions kekuatan untuk terus berkhidmat kepada mereka dan menyediakan platform untuk menunjukkan bakat mereka.
“Apabila anda melihat orang pekak, buta dan cacat fizikal bermain catur, lebih kerap anda akan kagum dengan semangat dan kebolehan mereka.
“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada 12 Kelab Lions di Kuching dan Serian atas penganjuran kejohanan untuk OKU Wilayah Sarawak,” kata pada sidang media mengenai kejohanan itu di Rumah Penjagaan Lions di sini, hari ini.
Bercakap mengenai keupayaan dan bakat keupayaan OKU dalam bermain catur, Pengerusi Daerah Kelab Lions Kuching, Helena Lim Pek Choo berkata, beliau sangat kagum apabila melihat kebolehan mereka.
“Setakat ini, ada 24 penyertaan yang terdiri dari pelbagai lapisan umur, kaum, bangsa dan agama. Kesemua mereka mempunyai kebolehan yang tinggi dalam permainan catur ini.
“Selain mengasah bakat, mereka juga berpeluang untuk berjumpa dengan pemain-pemain dari pelbagai daerah di Sarawak,” katanya.
Presiden Kelab Lions Kuching dan Kota Samarahan, Jamex Voon berkata pemenang kejohanan itu akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM500 beserta trofi, Naib Johan pula akan membawa pulang RM300 beserta trofi, tempat ketiga RM200 beserta trofi, manakala tujuh medal akan diberikan kepada pemenang saguhati.
Kejohanan itu akan diadakan di Pusat Beli belah Viva City, Kuching.
Oleh SHAHRUL QAIZAT