KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah memberi jaminan tidak akan ada masalah berkaitan urusan pendaftaran meskipun pengeluaran MyKid kanak-kanak baru lahir ditangguh selama enam bulan.
Katanya, ia tidak seharusnya menimbulkan kekhuatiran pihak ibu bapa memandangkan sijil lahir juga diterima sebagai dokumen pengenalan diri.
“Berdasarkan kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) (Datuk Ruslin Jusoh) pengeluaran MyKid terpaksa ditangguh.
“Sehubungan itu, saya meminta kepada semua ibu bapa untuk melaksanakan tanggungjawab yang wajib iaitu mendaftar kelahiran anak di JPN tidak kira sama ada pengeluaran MyKid ditangguh atau disambung semula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini bagi meminta ulasannya mengenai isu penangguhan pengeluaran MyKid yang baru lahir selama enam bulan.
Fatimah berkata, sijil lahir juga boleh digunakan untuk sebarang urusan pendaftaran memandangkan ia merupakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Kelmarin, Datuk Ruslin Jusoh berkata pengeluaran MyKid bagi kanak-kanak yang baru lahir perlu ditangguh selama enam bulan berikutan masalah kekurangan bekalan mikrocip yang turut terkesan di peringkat global sejak pandemik Covid-19 melanda dunia.
Bagaimanapun katanya, proses permohonan baharu masih diteruskan dan ibu bapa perlu menunggu untuk tempoh masa yang lebih lama kerana JPN akan menyelesaikan permohonan secara berperingkat.
Oleh RYNNA SHA’ERRA