SARATOK: Seorang gadis, Nur Azarinaefa Muhamad Hosliza, 18, (gambar) dari Kampung Melango Lama dekat sini sedang berusaha mencari bapa kandungnya untuk menjadi wali pada hari pernikahannya.
Menurut Nur Azarinaefa, kehadiran bapa kandungnya, Muhamad Hosliza Omar, 40, itu sangat diperlukan untuk menjadi wali kepada pernikahannya yang bakal berlangsung tidak lama lagi di Pejabat Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Betong.
Dia turut menjelaskan bahawa mereka sekeluarga tidak mengetahui lokasi sebenar bapa kandungnya itu sehingga kini, dan berharap sesiapa yang mengenali beliau dapat membantu memaklumkan perkara itu kepadanya dengan segera.
“Ayah dan ibu sudah bercerai sejak empat tahun lalu. Selepas bercerai ayah pergi bekerja ke Johor. Sejak itulah kami sekeluarga tidak mengetahui di mana keberadaan beliau sehinggalah ke hari ini,” katanya kepada Utusan Sarawak.
Nur Azarinaefa berkata ayahnya yang bekerja sebagai buruh kasar itu tidak dapat dihubungi kerana tiada maklumat seperti nombor telefon atau alamat terakhir ayahnya itu berada.
Katanya, dia akan berkahwin dengan pemuda yang berasal dari Kampung Tebelu.
“Buat masa ini, saya bersama ibu, Dayang Ejawaris Abang Bahrum, 39, tinggal bersama datuk saya, Abang Bahrum Abang Narudin di Kampung Gerigat Kabong.
“Sekiranya ada sesiapa yang mengenali ayah saya, saya memohon jasa baik anda semua untuk memaklumkan perkara ini kepadanya dan diharap juga agar beliau dapat menghubungi saya atau ibu sekiranya mendapat tahu akan berita ini.
“Jabatan Agama mensyaratkan supaya berita mengenai pencarian wali ini disiarkan dalam mana-mana akhbar sebelum melantik wali hakim.
“Meskipun sudah empat tahun ayah meninggalkan kami, saya berharap dia muncul dan menjadi wali pernikahan saya nanti,” katanya.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada ibu Nur Azarinaefa iaitu Dayang Ejawaris Abang Bahrum atau menghubunginya di talian – 0132729720.
Sehubungan itu Nur Azarinaefa berharap ayahnya tampil untuk menjadi wali pernikahannya dan sesiapa mengenali atau mempunyai maklumat mengenainya boleh menghubungi ibunya (Dayang Ejawaris Abang Bahrum) di talian 013-2729720.
Oleh ADI SAFARMAN