KUCHING: Status Sarawak sebagai wilayah perlu diiringi dengan bajet tahunan yang lebih besar dari Kerajaan Pusat, berbanding negeri lain yang berstatus negeri.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Gerald Rentap berkata adalah tidak adil jika selepas ini bajet Sarawak, negeri sebesar Semenanjung terus diberi bajet sama dengan negeri-negeri lain.
“Bolehkah anda bayangkan jika bajet kita masih sama dengan Selangor? Itu tidak adil terutamanya apabila Sarawak sebesar Semenanjung. Jadi perkara seperti ini yang kita mahu dikembalikan kepada kita.
“Sekiranya Sarawak adalah satu daripada tiga wilayah yang membentuk Malaysia, Sarawak sekurang-kurangnya berhak mendapat satu pertiga daripada bajet,” katanya selepas merasmikan forum kepemimpinan ‘Inisiatif Sarawak’ bertajuk ‘Belia Borneo: Ejen Perubahan Malaysia Baharu’ di sebuah hotel, di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia bukan lagi berstatus negeri, sebaliknya, wilayah dan memberi jaminan Kerajaan Perpaduan yang terbentuk hari ini mempunyai obligasi perundangan dan moral yang cukup besar terhadap Sabah dan juga Sarawak.
Status wilayah itu dikuatkuasa apabila Dewan Rakyat meluluskan pindaan kepada Perkara 1(2), 160(2) dan 161A (6) dan (7) kepada Perlembagaan Persekutuan, yang berkuatkuasa mulai 11 Februari 2022.
Berikutan itu, ia meletakkan Sarawak sebagai salah satu daripada tiga wilayah dan dianggap tidak mempunyai status yang sama dengan negeri komponen lain dalam Persekutuan Tanah Melayu.
Gerald yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata hak Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dikembalikan kerana kedua-duanya telah diiktiraf sebagai wilayah.
“Kerajaan kita sekarang dikenali sebagai kerajaan Sarawak, bukan lagi kerajaan negeri.
“Bagi membezakan kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan dan mana-mana kerajaan negeri, Sarawak melalui pindaan perlembagaan diiktiraf sebagai wilayah yang membentuk Malaysia.
“Ia masih sama dari satu segi, tetapi kita sebagai rakyat Sarawak mesti berbangga kerana salah satu perjuangan kita untuk menuntut kembali hak kita di bawah MA63 telah tercapai.
“Kini terpulang kepada Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk mengembalikan hak Sarawak yang lain termasuk pendidikan dan penjagaan kesihatan.
“Ini perlu kerana kita telah diketepikan dan diberi peruntukan yang tidak mencukupi sejak sekian lama,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal