Kadar gaji minimum polis bantuan bergantung pada agensi masing-masing – PDRM

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Pengarah (Operasi Pencegahan /Koordinasi Sumber Sokongan) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid (kiri) ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Persidangan Tahunan Persatuan Polis Bantuan Malaysia Kali Ke-37 hari ini. Hadir sama Presiden Persatuan Polis Bantuan Malaysia Datuk Asmawati Ahmad (kanan). Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 12 November: Pelaksanaan kadar gaji minimum baharu bagi anggota Polis Bantuan bergantung pada ketetapan agensi yang menggaji mereka, kata Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid.

Beliau berkata perkara itu berikutan skim perkhidmatan Polis Bantuan berbeza daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), justeru penetapan gaji mereka ditentukan oleh agensi masing-masing.

“Sekiranya kerajaan mengarahkan agensi swasta menyelaraskan gaji minimum, perkara itu perlu dipatuhi,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Persatuan Polis Bantuan Malaysia (MAPA) Ke-37 di sini hari ini.

TIMBALAN Pengarah (Operasi Pencegahan/Koordinasi Sumber Sokongan) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Polis Bantuan Konstabel Awangku Mohd Sufri Awang Miamit pada Majlis Persidangan Tahunan Persatuan Polis Bantuan Malaysia Kali Ke-37 hari ini. foto BERNAMA

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelaksanaan kenaikan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 yang dijangka dilaksanakan kerajaan tahun depan, termasuk keperluan GLC menyelaraskan kadar gaji anggota Polis Bantuan.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Deri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja.

Persidangan MAPA bertujuan membincangkan hal-ehwal kepolisan, kerjasama dengan PDRM, kebajikan, serta penambahbaikan peranan anggota Polis Bantuan di agensi kerajaan, badan berkanun, dan sektor swasta.

Kekuatan Polis Bantuan di seluruh negara kini mencecah 27,550 pegawai dan anggota.- Bernama