BRASILIA: Kad kredit milik bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro dilaporkan dibelanjakan lebih AS$21,000 (RM91,000) di restoran dan AS$10,700 (RM46,384) di bakeri dalam tempoh sehari.
Selain itu, lebih daripada AS$1,600 (RM6,936) turut dibelanjakan di kedai aiskrim.
Perbelanjaan rasmi yang tinggi bagi kad kredit Bolsonaro itu menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.
Ia didedahkan melalui satu penyata akaun siaran awam yang diterbitkan di laman web kerajaan, semalam.
Bolsonaro dan 21 lagi pegawainya mempunyai akses terhadap kad itu.
Tidak seperti pemimpin sebelum ini, Bolsonaro mendedahkan maklumat rasmi termasuk perbelanjaan kad kredit di mana dasar itu ditarik semula oleh penggantinya, Luiz Inacio Lula da Silva.
Jumlah keseluruhan yang dicaj pada kad itu adalah hampir separuh daripada yang dibelanjakan semasa tempoh empat tahun pertama pentadbiran Lula bermula pada 2003, walaupun beliau menggunakannya untuk tujuan penginapan semasa melancong ke luar negara.
Bolsonaro sebelum ini sering mendakwa tidak melakukan caj satu senpun pada kad itu.
Namun, berdasarkan analisis rekod yang baharu dibuka oleh laman web berita Uol mendapati lebih daripada AS$235,000 (RM1 juta) dibelanjakan oleh Bolsonaro semasa bercuti pada 2019, 2020 dan 2021.
Hampir AS$14,000 (RM60,689) dibelanjakan sekali di stesen minyak dan AS$286,000 (RM1.23 juta) lagi untuk beberapa lawatan ke hotel mewah di Guaruja iaitu sebuah pusat peranginan tepi laut berhampiran Sao Paulo.
Menurut laman web G1, hotel itu menempatkan anggota rombongan Bolsonaro, sementara beliau menginap di kompleks tentera.
Perbelanjaan tinggi antaranya turut membabitkan pembelian makanan.
Pada satu lawatan ke sebuah restoran di Boa Vista di negeri Roraima di Amazon, kad presiden digunakan untuk membayar bil lebih daripada AS$21,000 (RM91,034).
Jumlah itu dipercayai cukup untuk menempah sehingga 2,000 hidangan paling mahal di restoran terbabit iaitu ayam panggang dan menu sampingan yang harganya kurang daripada AS$10 (RM43).
Kad itu juga digunakan untuk mengenakan bayaran lebih daripada AS$71,000 (RM307,784) dalam tempoh empat tahun di sebuah bakeri di Rio de Janeiro.
Daripada jumlah itu, hampir AS$11,000 (RM47,684) dibelanjakan sekali gus iaitu pada hari selepas perkahwinan anak lelaki Bolsonaro. – AFP