BEIJING: China hari ini berkata, negara itu menghentikan aplikasi digunakan bagi menjejaki kontak rapat, perubahan penting dan pantas membabitkan strategi toleransi sifar COVID-19.
Siaran rasmi WeChat menjelaskan, ‘Kad Jadual Perjalanan Komunikasi’ kendalian kerajaan yang menjejaki individu melawat kawasan berisiko tinggi, berpandukan isyarat telefon, akan ditamatkan pada jam 12 tengah hari esok, selepas lebih dua tahun beroperasi.
Ia adalah dasar utama sifar COVID-19 China, dengan jutaan orang perlu memasukkan nombor telefon mereka bagi menghasilkan anak panah hijau bagi menandakan perjalanan antara wilayah atau menyertai sebarang acara.
Keputusan itu dibuat beberapa hari selepas China mengumumkan penamatan sekatan pergerakan berskala besar, kuarantin mandatori di fasiliti ditetapkan serta saringan.
Kes dilaporkan secara rasmi di China turun mendadak daripada paras tertinggi sepanjang masa bulan lalu, tetapi pakar kesihatan China, Zhong Nanshan semalam memberi amaran dalam media kerajaan, varian Omicron ‘menular dengan pantas’ ke seluruh negara.
Sistem empat peringkat yang dilancarkan pada 2020, menetapkan warna berbeza mengikut tahap ramalan pendedahan COVID-19 pengguna, selain Kad Jadual Perjalanan diubah suai beberapa kali sebelum pengesanan kontak dipendekkan kepada tujuh, berbanding 14 hari sebelum ini.
Ia hanyalah satu daripada pelbagai aplikasi penjejakan yang mengawal kehidupan harian di China sepanjang pandemik dan kebanyakan rakyat menggunakan ‘kod kesihatan’ tempatan dikendalikan bandar atau wilayah untuk memasuki kedai dan pejabat.
Namun, pengguna media sosial tetap memuji penamatan Kad Jadual Perjalanan, menandakan simbolisme Beijing bagi penutupan aplikasi penjejakan utamanya.
Ramai menyiarkan tangkap layar log ‘terakhir’ mereka.
“Bye bye, ini mengumumkan penghujung era, dan juga mengalu-alukan era baharu,” tulis seorang di platform Weibo yang seakan-akan Twitter.
“Selamat tinggal kad jadual perjalanan, konsert tunggu saya datang,” tulis seorang lagi.
Yang lain bertanya apa yang akan terjadi dengan himpunan data yang dikumpul oleh aplikasi.
“Kad Jadual Perjalanan dan produk lain yang serupa bermaksud sejumlah besar maklumat peribadi dan data peribadi,” tulis seorang pengguna Weibo.
“Saya harap akan ada mekanisme dan langkah untuk log keluar dan memadamnya.” – AFP