SIBU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM643,157.16.
Rampasan itu dilakukan di hadapan sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Bunga Raya dan sebuah pangsapuri di Lorong Sena, jam 7.30 malam Khamis lalu.
Persuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata rampasan dadah itu adalah yang kedua terbesar di Sarawak, setakat ini.
Menurutnya, suspek adalah seorang lelaki berusia 29 tahun, penganggur, sudah berkahwin dan berasal dari Sibu, telah ditahan.
“Ujian saringan awal air kencing suspek didapati positif dadah Amphetamine/Methamphetamine. Suspek mempunyai tiga rekod dadah lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (kes 2014, hukuman empat bulan penjara dan dua tahun pengawasan pada tahun 2018).
“Seksyen 12(2) ADB 1952 (kws tahun 2017, hukuman tujuh bulan penjara pada 2017) dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 (kes 2017, hukuman empat bulan penjara dan dua tahun pengawasan pada 2018),” katanya pada sidang media di Wisma Pengaman Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, petang ini.
Katanya, dadah yang dirampas adalah terdiri daripada 5,940.11 gram Syabu (Methamphetamine), 4,407.24 gram (Ketamin), 1,830 gram (Erimin 5), 225 gram serbuk jus (Ecstasy), 760 gram pil (Ecstasy) dan 960 gram Magic Mushroom (Psilocybin).
“Keseluruhan rampasan dadah ini boleh digunakan oleh seramai 50,423 orang atau 50,423 kali penggunaan,” katanya.
Mohd Azman berkata, modus operandi sindiket ini bergiat aktif dalam aktiviti pengedaran dadah di sekitar Sibu, Kuching, Bintulu dan Miri.
“Bekalan dadah diperoleh dari pengedar dadah di Semenanjung Malaysia melalui perkhidmatan kurier. Suspek menjadikan sebuah rumah pangsapuri sebagai stor penyimpanan dadah.
“Ia juga digunakan sebagai tempat pembungkusan semula dadah kepada paket-paket yang lebih kecil.
“Setelah menerima arahan dari ketuanya, suspek akan meletakkan dadah tersebut di tepi jalan di sekitar Sibu. Setelah dadah diletakkan, suspek akan memaklumkan kembali ketuanya, yang seterusnya menyuruh pelanggan mengambil dadah tersebut.
“Suspek juga menghantar dadah melalui kiriman bas ekspres ke Bintulu, Miri dan Kuching,” katanya.
Katanya, suspek terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak dua bulan lalu dengan upah sebanyak RM1,000 seminggu.
“Sebuah kenderaan jenis Nissan Navara dianggarkan bernilai RM55,000 turut disita di bawah Seksyen 25 ADB (lucut harta) 1988,” katanya.
Beliau berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, dikenakan tidak kurang 15 sebatan bagi kesalahan Seksyen 39B ADB 1952.
“Hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 bagi kesalahan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
“Suspek kini dalam tahanan reman mulai 3 hingga 7 Disember 2022,” katanya.
Beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga November 2022, JSJN Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak telah merekodkan sejumlah 8,478 orang tangkapan termasuk 692 tokan dadah dan rampasan dadah yang dianggarkan bernilai RM10,440,052.
“PDRM khususnya JSJN akan terus komited membenteras habis-habisan kegiatan pengedaran dadah dan penyalahgunaan dadah bagi menentukan negara dan masyarakat kekal selamat, aman dan sejahtera.
“Sebarang maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah bolehlah disalurkan menerusi WhatsApp Hotline JSJN PDRM 012-2087222,” katanya.
Turut hadir ialah Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili serta yang lain.
Oleh AKUN GIMAN