KUCHING: Sebanyak RM10,000 bersama piala, piala iringan, dan pingat menanti pasukan juara perlawanan akhir Kejohanan Liga Bolasepak SSC-FAS bawah 20 tahun Sarawak 2022, petang esok.
Naib johan akan membawa pulang RM7,000 beserta piala dan pingat manakala ketiga akan memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 beserta piala dan pingat.
Naib Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Awang Madihi Awang Yatim berkata objektif kejohanan itu adalah untuk mencungkil bakat baru pemain bolasepak secara menyeluruh di Sarawak untuk diketengahkan bagi mewakili pasukan Sarawak dan kelab-kelab di kejohanan.
“Selain itu, sebagai medan untuk pemain menimba pengalaman, dan merancakkan suasana sukan bolasepak di negeri ini ke arah melahirkan atlet bertaraf dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Sarawak Plaza, hari ini.
Dalam pada itu, skuad Serian FA dan Miri FA bakal bersaing dalam perlawanan akhir bagi kejohanan tersebut untuk merebut gelaran juara.
Untuk rekod, sebanyak 16 pasukan menyertai kejohanan itu pada pusingan awal yang dibahagi kepada empat zon dan 10 pasukan layak ke pusingan akhir.
Pusingan awal bermula pada 21 Ogos hingga 10 Oktober manakala final pada 26 November hingga esok, 3 Disember 2022.
Oleh Mohd Neenatul Aizal