SKUAD Serian FA berjaya merealisasikan impian mereka apabila melangkah ke perlawanan akhir Liga SSC-FAS 2022 Bawah 20 tahun dalam saingan separuh akhir di Stadium Negeri, Petra Jaya malam tadi.
Serian FA pimpinan Rockeffller Sullau itu berjaya mengejutkan pasukan pilihan kejohanan dari Indonesia, PSSI Kalimantan dengan jaringan 4-2 melalui penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 0-0.
“Syukur, pasukan Serian FA telahpun berada di landasan terbaik dan berjaya melunaskan impian untuk ke perlawanan akhir Liga SSC-FAS musim ini.
“Kejayaan ini adalah untuk semua pemain, pengurusan pasukan serta penyokong setia pasukan Serian FA yang tidak henti-henti memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepada pemain,” katanya kepada Utusan Sarawak.
Rockeffller berkata skuad Serian FA mengekalkan rekod tanpa kalah bagi tiga perlawanan yang dihadapi sebelum ini, sekali gus meletakkan mereka di tangga teratas Kumpulan A, dan berjaya mengejutkan pasukan dari negara jiran Indonesia dalam saingan separuh akhir, malam tadi.
Justeru, dia tidak mahu pemain pasukannya dibuai dengan kejayaan itu, sebaliknya terus memberikan fokus kepada perlawanan akhir Liga SSC-FAS Bawah 20 tahun menentang Miri FA di Stadium Negeri, Petra Jaya jam 4.15 petang esok.
Dalam satu lagi aksi separuh akhir, skuad Miri FA turut mengejutkan skuad pilihan, Kuching FA dengan jaringan 2-0.
Oleh ADI SAFARMAN