KUCHING: Kerajaan Sarawak memberi bayaran insentif khas bersamaan satu setengah bulan gaji pokok atau minimum RM2,000 kepada pegawai Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bayaran itu akan dibuat sebelum akhir tahun ini.
“Bantuan khas ini diberikan kepada penjawat awam negeri dan kakitangan Persekutuan yang bertugas di Sarawak dalam Belanjawan Sarawak 2023.
“Ia adalah sebagai menghargai khidmat bakti penjawat awam dalam mengurus jentera kerajaan serta menjalankan tugas dengan penuh kesabaran dan cemerlang,”katanya.
Beliau berkata demikian pada hari terakhir sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebentar tadi.
Abang Johari berkata, kerajaan negeri juga akan membayar insentif khas kepada lebih kurang 137,000 penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak sebanyak RM500.