HENRY B SIYU
MUKAH: Sebanyak 372 bungkus makanan telah diagihkan di Kampung Sungai Alo dan Skim Penempatan Semula Sg. Alo (SPS Sg Alo), Mukah semalam.
Sumbangan berupa keperluan harian yang dihantar dari rumah ke rumah itu adalah Bantuan Khas Perdana Menteri yang disampaikan melalui Ahli Parlimen Mukah.
Sebelum diagihkan kepada penerima, ketua masyarakat menerimanya daripada Residen Bahagian Mukah, Hamdiah Bakir pada majlis ringkas yang diadakan di Surau Darul Ibadah di sana.
Juga kelihatan ialah Penolong Pegawai Daerah; Pleadzman Ahip, Pegawai Tadbir daripada Pejabat Residen; Ismail Kasah, Pegawai Pusat Khidmat Parlimen Mukah; Almalhakim Norshidi, Penghulu; Ahmad Jakriah, Ketua Kaum SPS Sg Alo; Razmah Mohamad dan Ketua Kampung (KK) Kampung Sungai Alo Mukah; Ali Hamid.
Ketika ditemui media pada majlis ringkas itu, Hamdiah yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Mukah, menyatakan bekalan barang keperluan untuk Mukah adalah mencukupi.
“Ini adalah bantuan Khas Perdana Menteri melalui Ahli Parlimen dan kini pengagihan telah dan sedang berlangsung di ketiga-ketiga daerah atau ADUN di bawah Parlimen Mukah iaitu Dalat, Tellian dan Balingian. Kesemua untuk kawasan parlimen ialah sejumlah 11,920 bakul makanan,” ujarnya.
Beliau menyatakan pengagihan itu akan diteruskan selepas Aidilfitri kerana sebahagian daripada bantuan masih dalam persiapan atau pembungkusan.
Menyentuh mengenai bank, Hamdiah mengakui bahawa bank-bank di Bandar Mukah sentiasa di penuhi pelanggan semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kini, amat berharap bank bergerak yang dirancangkan akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat ini.
“Bahagian Mukah ini mempunyai lima daerah, Tanjung Manis, Daro, Matu, Dalat dan Mukah. Ada daerah yang tidak ada bank langsung; cuma di Mukah mempunyai beberap buah bank, jadi tumpuan orang ramai semenangnya di bandar ini. Justeru, tentang kewujudan bank bergerak sememangnya amat dinanti-nantikan oleh kita semua,” ujarnya lagi.
Sementara itu, KK Ali Hamid mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas bantuan barangan keperluan harian itu.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdanan Menteri, Ahli Parlimen kita, Dato Hanifah Hajar Taib, dan semua yang terlibat dengan pengagihan bantuan ini. Dan semestinya juga untuk kerajaan negeri yang juga memberi pelbagai bantuan untuk rakyat kita. Saya juga ingin mengambilkan kesempatan ini untuk mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri’ kepada semua,” katanya.