DOHA: Lionel Messi percaya Diego Maradona pasti “terlalu gembira” apabila dia mengemudi Argentina layak ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia awal pagi tadi selepas menang 2-0 ke atas Poland.
Messi muncul pemain paling banyak beraksi buat negaranya pada kejohanan itu dengan penampilan ke-22 sekali gus mengatasi pencapaian bintang legenda negara itu yang meninggal dunia dua tahun lalu.
“Saya hanya mendapat tahu mengenainya baru-baru ini, saya langsung tidak mengendahkannya sebelum ini. Satu kegembiraan untuk terus mencatat rekod sebegini. Saya fikir Diego pasti terlalu gembira dengan saya, kerana beliau sering membuktikan kasih sayang terhadap saya, beliau sentiasa gembira apabila semuanya bagus buat saya,” kata Messi.
Walaupun gagal menyempurnakan sepakan penalti – kegagalan kali ke-39 kariernya menerusi tendangan itu – kapten Argentina itu berkata dia “gembira” dengan keputusan “perlawanan besar” itu.
“Kami mencapai objektif pertama kami untuk melepasi peringkat kumpulan selepas bermula dengan cara yang kurang memberangsangkan (kekalahan mengejut 2-1 menentang Arab Saudi),” kata Messi.
“Saya berasa kecewa kerana gagal menjaringkan penalti itu, kerana saya sedar satu gol boleh mengubah keseluruhan permainan, menyebabkan anda bermain dengan cara berbeza. Tetapi saya fikir berikutan kegagalan penalti itu, pasukan tampil lebih bertenaga.”
Messi, yang masih memerlukan pingat juara Piala Dunia untuk mengukuhkan legasinya sebagai salah seorang pemain terhebat sepanjang zaman, percaya Argentina meningkat tepat pada masanya.
“Selepas gol pertama, segala-galanya menjadi buat kami. Kami mula melakukan sekali lagi apa yang kami cuba lakukan sejak permulaan Piala Dunia, tetapi kami tidak berjaya melakukannya kerana beberapa alasan.
“Sesudah berjaya melakukannya hari ini, ia memberikan kami keyakinan bagi mengharungi aksi seterusnya.”
Berikutnya buat Argentina ialah pertembungan 16 terakhir menentang Australia awal pagi Ahad ini. – AFP