BINTANGOR: Deretan lori dikesan memandu secara melawan arus di laluan Lebuhraya Pan Borneo, jajaran Julau-Sarikei hari ini.
Berikutan itu, polis sedang mengesan pemandu lori yang bertindak memandu secara bahaya itu.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Sekam Anoi berkata usaha mengesan syarikat lori berkenaan sedang dibuat di samping melancarkan ops sikap di Jalan KJD pada minggu ini.
“Nasihat polis, jangan ambil jalan mudah atau singkat sehingga boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain. Tindakan tegas akan diambil.
“Pihak polis sudah menerima laporan berhubung kejadian itu pagi tadi. ,”katanya ketika dihubungi wartawan Utusan Sarawak.
Terdahulu, video itu dimuatnaik ke halaman rasmi facebook Unit Lebuhraya Pan Borneo JKR Sarawak .
Menurut laman FB itu, laporan polis sudah dibuat berhubung kesalahan trafik yang dilakukan oleh beberapa lori yang melawan arus di jajaran Julau-Sarikei, Lebuhraya Pan Borneo Sarawak pagi tadi.
“Tindakan pemandu-pemandu lori berkenaan amat berbahaya kepada pengguna jalan raya yang lain dan boleh mengakibatkan kemalangan maut.
“Di kala pihak kerajaan telah menyediakan kemudahan jaringan jalan raya yang selesa untuk semua lapisan masyarakat, kita amat berharap agar semua pengguna Lebuhraya Pan Borneo untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan agar tiada perkara yang tidak diingini berlaku.
“Sayangi nyawa anda dan ambil kira keselamatan orang lain serta orang yang mereka sayangi,” kata kenyataan di FB itu.
Oleh Suriyani Molyadi