KUCHING: Forum Raspberry Pi akan diadakan pada tahun depan untuk mempamerkan hasil kerja kreatif guru-guru yang telah mengikuti Latihan Raspberry Pi antara 2022 dan 2023.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, forum ini akan menyediakan platform untuk guru yang akan bertindak sebagai Pi Stars, di mana mereka akan berpeluang berkongsi pengalaman dan amalan terbaik mereka.
“Setelah berjaya mengedarkan komputer Raspberry Pi ke semua 1,265 sekolah rendah di Sarawak, kementerian saya telah melibatkan Universiti Teknologi Swinburne Sarawak dalam menyediakan latihan mendalam mengenai penggunaan komputer ini kepada guru yang mengajar Rekabentuk Teknologi (RBT – Reka Bentuk Teknologi) dan silibus IT.
“Latihan ini juga dipanjangkan kepada semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Pegawai Pendidikan Daerah,” katanya ketika menggulung perbahasan di sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.
Tambahnya, untuk 2023, kementeriannya telah memperuntukkan RM1.25 juta untuk kursus peningkatan kemahiran guru dan aktiviti berasaskan projek untuk pelajar.
Sementara itu, katanya, memastikan pendidikan berkualiti adalah amat penting dalam setiap masyarakat dan negara.
Sejak penubuhannya pada 2017, kementeriannya telah memulakan program dan projek yang komprehensif dengan matlamat utama untuk meningkatkan taraf dan kualiti pendidikan di Sarawak.
“Walaupun pendidikan terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, sentiasa meletakkan keutamaan dalam hal pendidikan.
“ Ini terbukti melalui pelbagai usaha yang telah dilaksanakan oleh Kementerian saya dalam tempoh lima tahun ini, sama ada dari segi meningkatkan pembangunan fizikal sekolah yang merangkumi menaik taraf dan membina semula blok sekolah; penyediaan air terawat dan bekalan elektrik yang boleh dipercayai; penyediaan program pembangunan profesional berterusan kepada pendidik dan penganjuran aktiviti berpusatkan pelajar,” katanya lagi.
Oleh NUR AIN OTSMAN