SKUAD Jang Bukit Saban bangkit daripada ketinggalan 2-0 untuk menewaskan Hermanos FC 3-2, sekali gus mara ke perlawanan akhir Piala Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas 2022.
Skuad itu bakal berdepan pasukan Semarang Village United pada final 10 Disember (Sabtu) nanti di Kompleks Sukan Spaoh, jam 3 petang.
Dalam kemenangan yang penuh dramatik di Kompleks Sukan Betong petang semalam, skuad pimpinan Faizul Sulaiman itu terpaksa berhempas pulas untuk menewaskan pasukan dari Saratok itu.
Seawal minit ke-2 perlawanan, Jang BS dikejutkan dengan jaringan menerusi penyerang muda mereka, Yohanis Daniel Kinda sebelum dia melakukan jaringan sekali lagi pada minit ke-17.
Tersentak dengan dua gol awal daripada Hermanos FC itu, Jang Bukit Saban terus menggandakan usaha dengan mencipta peluang untuk memecah kubu Hermanos FC yang dipimpin oleh ketua jurulatihnya, Beritin Empawi yang bertindak cemerlang menepis percubaan berbahaya barisan serangan Jang Bukit Saban.
Memasuki babak kedua, Jang Bukit Saban terpaksa melakukan rombakan pemain dengan strategi diubah lebih kepada menyerang, melihatkan aksi pasukan diketuai kapten Nazreen Ismail itu semakin bertenaga.
Percaturan Faizul Sulaiman itu membuahkan hasil apabila barisan pemain Jang Bukit Saban bangkit dengan tiga gol dalam tempoh lapan minit.
Tiga jaringan tersebut telah dijaringkan oleh Shahidun Yazid minit ke-76, Muhammad Ramadhan Jepridin minit ke-80 dan Affyshahrul Effendi minit ke-84.
Keputusan 3-2 itu kekal sehingga wisel penamat oleh pengadil perlawanan, Jurija Sujaidi.
Ketua jurulatih Jang Bukit Saban, Faizul Sulaiman begitu lega dengan kemenangan itu sekali gus membolehkan pasukan kendaliannya itu berjaya melangkah ke perlawanan akhir.
“Saya tidak menyangka pemain boleh menjaringkan tiga gol dalam tempoh lapan minit terakhir, sekali gus membawa pasukan kita melangkah ke final,” katanya.
Dalam pada itu, skuad Jang Bukit Saban diperkuatkan bekas pemain Sarawak FA dan Kuching City FC iaitu Paul Sambang, Awang Kamaruddin Awang Bohan, Affy Shahrul Affendi, Adam Fahmi dan bekas pemain Piala Presiden Sarawak, Azafarezal Harun.
Oleh ADI SAFARMAN