SKUAD Kapit FA memulakan saingan pusingan akhir Liga SSC-FAS 2022 bawah 20 tahun (Kumpulan B) dengan langkah kanan apabila berjaya meraih tiga mata penuh selepas menewaskan Limbang FA 2-0 pada aksi di Stadium Sarawak, pagi semalam.
Lebih menggembirakan kedua-dua gol, dijaringkan oleh penyerang handalan mereka iaitu Alan Eldrian pada minit ke-17 dan 90+1.
Ketua jurulatih Kapit FA, Mark Kayan menyifatkan kemenangan itu sebagai satu permulaan yang baik buat pasukannya selepas berjaya menewaskan Limbang FA.
“Syabas pemain atas kerja keras mereka yang bukan sahaja berjaya memastikan tiga mata penuh, malah berjaya menyekat kemaraan pasukan lawan yang serba mantap dari segala posisi itu,” katanya.
Beliau juga turut memuji semangat juang pemainnya yang bermain habis-habisan sehingga ke wisel penamat untuk mencari seberapa banyak gol.
Mark berharap kemenangan yang dicipta pemainnya pada perlawanan pertama itu akan menjadi pemangkin dan tonik untuk mereka terus cemerlang dalam mengharungi baki perlawanan lain selepas ini.
Pada perlawanan seterusnya, Kapit FA dijangka menanti cabaran menentang skuad dari negara jiran Indonesia iaitu PSSI Kalbar pada jam 4.15 petang esok.
Oleh ADI SAFARMAN