KUCHING: Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (Sabati) perlu menggunakan teknologi digital dalam pentadbiran dan pengurusan maklumat.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata misalnya sekarang ini ‘SPayGlobal’ telah menjadi platform utama untuk perniagaan termasuk urus niaga kerajaan Sarawak dan sektor swasta.
“Semuanya menggunakan perkhidmatan tanpa tunai atau e-dompet di dalam pengurusan di kafeteria atau galeri.
“Mungkin juga saya boleh mencadangkan untuk menyediakan ruang wi-fi, kerana kini Sarawak menyediakan Wifi Saluran melalui Terminal aperture yang sangat kecil (VSAT),” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Wisma Sabati dan sambutan ulang tahun ke-40 SABATI, di Wisma Sabati, Jalan Diplomatik, di sini malam tadi.
Abang Johari berkata, kerjasama yang kukuh antara warga Sabati akan dapat memudahkan segala usaha dalam mengerakkan bantuan amal seara holistik bukan sahaja di dalam Sarawak, malah juga ke Semenanjung Malaysia.
Katanya, pada masa kini, kerajaan Sarawak mengiktiraf usaha serta komitmen badan-badan amal yang aktif dan sentiasa bergerak secara holistik dalam memastikan tiada siapa tertinggal.
“Wisma Sabati ini boleh menjadi tapak integrasi untuk menyemarak dan memperbanyakkan detik-detik perpaduan dalam kalangan komuniti, khususnya dalam menyampaikan sumbangan amal di setiap pelosok negeri ini,” katanya.
Majlis perasmian Wisma Sabati itu turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan isterinya Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib.
Wisma Sabati mempunyai dewan serbaguna bagi penganjuran majlis yang boleh memuatkan 500 tetamu, mempunyai empat gelanggang badminton dan satu auditorium dengan tempat duduk untuk 270 tetamu.
Oleh AZREEN KERIA