KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang dalam usaha untuk membangunkan Mukah sebagai ‘Bandar Pintar’ bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan di negeri ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Malcolm Mussen Lamoh berkata lapan sektor ekonomi telah dikenal pasti dan akan terus dibangunkan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di Mukah.
Antara sektor itu ialah pendidikan, komunikasi dan teknologi, pertanian, bioteknologi perikanan, kebudayaan, sektor makanan dan pembuatan.
“Pembangunan dan perkembangan lapan sektor ekonomi ini dijangka akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
“Kerajaan Sarawak melalui kementerian saya serta pelbagai agensi lain dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang giat menggalakkan pelaburan di Sarawak termasuk Mukah.
“Baru-baru ini, kerajaan Sarawak telah menubuhkan InvestSarawak yang akan menjadi agensi sehenti untuk mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelaburan pilihan,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Royston Valentine (GPS-Tellian) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Royston bertanya mengenai pelan tindakan kerajaan Sarawak untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan di negeri ini khususnya di Bahagian Mukah.
Malcolm juga berkata, terdapat tiga projek Anjung Usahawan sedang dalam perancangan bagi Bahagian Mukah iaitu Anjung Usahawan Balingian, Anjung Usahawan Daro dan Anjung Usahawan Dalat serta sebuah projek Taman Perindustrian Mini di daerah Dalat.
“Melalui pelaksanaan projek-projek ini, ia akan dapat mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan baharu dan peluang pekerjaan kepada anak tempatan sekali gus meningkatkan taraf ekonomi penduduk di bahagian Mukah,” katanya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA