KUCHING: Sebanyak 62 sekolah daif telah siap dibaik pulih di Sarawak setakat ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (Pengajian Tinggi dan Inovasi), Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, semenjak 2019 sebanyak 247 sekolah daif telah dikenal pasti terlibat dalam pelbagai projek baik pulih sekolah oleh Kerajaan Sarawak dan Persekutuan.
“Daripada jumlah tersebut, 25 peratus bersamaan 62 sekolah telah siap dibina. Selebihnya iaitu 185 sekolah adalah dalam pelbagai peringkat perancangan dan pembinaan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada ADUN Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman dalam sesi pertanyaan bagi jawapan lisan pada persidangan DUN Sarawak, hari ini.
Ditanya selain daripada bantuan pembangunan dari segi fizikal, apakah bantuan lain disediakan oleh Kerajaan Sarawak bagi mempertingkatkan atau menambahkan lagi pembangunan pendidikan di Sarawak?
Kata Annuar, semenjak penubuhan Kementerian Pendidikan Negeri Sarawak pada 2017, pelbagai program telah dirancang untuk memperkasakan pendidikan Sarawak.
“Paling penting, pembangunan profesional yang berterusan untuk para pendidik. Antaranya ialah memperkasakan kepimpinan dan pengurusan di sekolah selaras dengan standard kualiti pendidikan Malaysia gelombang kedua. Ini penting untuk kemajuan pendidikan di Sarawak,” katanya.
Katanya lagi, untuk menambah baik penguasaan Bahasa Inggeris (BI) sebagai satu bahasa rasmi kedua di Sarawak, Kementeian Pendidikan Negeri Sarawak telah mengadakan pelbagai program seperti ‘Simposium Pendidikan Bahasa Inggeris Sarawak,’ khas untuk guru-guru BI bagi memantapkan penguasaan mereka dalam pengajaran dan pembelajaran.
“Dalam pada itu, untuk menambahkan opsyen guru yang kurang di Sarawak, mereka diberi kursus khas untuk menambahkan opsyen khusus dalam matapelajaran matematik, sains dan Inggeris. Untuk BI dalam matapelajaran sains dan matematik, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengadakan kursus khas untuk guru-guru ini menjalankan program dwi bahasa,” katanya.
Selain itu, turut diadakan kursus untuk guru-guru yang mengajar subjek sejarah iaitu subjek yang penting untuk tingkatan empat dan lima supaya mereka (pelajar) mendapat sijil penuh, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Dalam memperkasakan pengajaran dan pembelajaran, Kerajaan Negeri telah berbelanja berjuta ringgit untuk memberi bahan tambahan kepada guru khususnya dalam matematik dan sains iaitu buku panduan guru dan pelajar serta bahasa geografi kebangsaan kepada seluruh sekolah di Sarawak.
“Selain itu juga, membekalkan komputer Raspberry Pi kepada seluruh sekolah rendah di Sarawak, di samping bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar kurang berkemampuan yang diteruskan melalui Yayasan Sarawak,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN