KUCHING: Seramai 77 orang bayi yang dilahirkan dari Januari hingga 31 Oktober yang lalu telah mendaftar akaun di bawah Tabung Endowment Sarawak (EFS).
Timbalan Menteri, Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak), Datuk Rosey Yunus berkata, sejak 2019 hingga 31 Oktober 2022, Jabatan Pendaftaran Negara merekodkan seramai 115,521 anak yang dilahirkan berstatus ‘K’.
Menurut Rosey, daripada jumlah tersebut, 82,265 orang atau bersamaan 71 peratus telah didaftarkan untuk akaun EFS.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, hari ini.
Dalam pada itu, katanya sejak 2019 hingga 31 Oktober 2022, Baram merekodkan 622 kelahiran di mana 324 daripada jumlah tersebut atau 52 peratus telah mendaftar akaun EFS.
“Kementerian saya menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) komited untuk menyediakan perkhidmatan sosial yang berkualiti kepada semua masyarakat termasuk mereka yang berada di kawasan luar bandar.
“Setakat 31 Oktober 2022, JKMS telah menubuhkan empat pejabat satelit di Baram iaitu di Long Kevok (15 Julai 2022), Long Bedian (16 hingga 17 Julai 2022), Long Jekitan (29 hingga 31 Julai 2022) dan Bario (1 hingga 4 September 2022),” ujarnya.
Menurutnya, antara perkhidmatan yang ditawarkan kepada masyarakat di pejabat satelit tersebut ialah pendaftaran anggota sukarelawan JKMS, pendaftaran kad orang kelainan upaya (OKU), siasatan bagi permohonan bantuan JKM, pendaftaran dan pengedaran kad emas kenyalang (KGC) dan taklimat mengenai inisiatif yang disediakan di bawah kementerian.
“Penyediaan pejabat satelit ini akan diteruskan pada tahun 2023 untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat di Baram dan memastikan mereka tidak ketinggalan dalam menerima sebarang bentuk inisiatif yang disediakan oleh kerajaan,” tambahnya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA