KUCHING: Rakyat mengharapkan keadaan politik negara kembali stabil dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan dan pada masa sama menuntut segala janji pada pilihan raya umum lalu ditunaikan.
Tinjauan Utusan Sarawak mendapati orang ramai teruja dengan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10 dan mahu beliau menunaikan segala apa yang diungkapkan sebelum ini.
Abdul Majid Azman, 33: Sebagai rakyat Malaysia, saya nak kerajaan yang stabil dan mampu menempa nama negara semula di mata dunia selain melonjakkan kembali nilai mata wang negara. Saya juga berharap ekonomi negara pulih semula dengan harapan harga barangan turun sekali ganda daripada harga sedia ada sekarang.
Sulastri, 30: Sebagai rakyat, pertama sekali berasa teramat bersyukur dengan keputusan dan pelantikan Perdana Menteri baharu ini. Besar harapan saya agar segala manifesto yang disuarakan oleh PM10 dilaksanakan dengan sehabis mungkin. Segala keadaan dipulihkan semula dengan kepemimpinan bedasarkan perpaduan.
Mohd Izzat Fakhruddin, 30: Saya mengharapkan agar setiap bantuan seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), dan sebagainya diteruskan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jangan hampakan rakyat dan inilah suara kami rakyat Malaysia.
Azfeeza Keria, 22: Saya mengharapkan agar tiada perbalahan berlaku, tiada rasuah berleluasa, adil, sentiasa mementingkan rakyat melebihi kepentingan sendiri, mendengar suara anak-anak muda. Teruskan setiap bantuan yang disalurkan sebelum ini bagi meringankan beban rakyat. Semoga ekonomi Malaysia semakin pulih dan harga barang-barang keperluan diturunkan dengan sewajarnya.
Mohd Nazirul Haziq, 26: Saya mengharapkan Perdana Menteri Ke-10 akan lebih memberi perhatian kepada golongan muda dan tidak mengabaikan Sarawak khasnya dari segi pembangunan atau projek sakit yang masih belum dilaksana atau belum siap oleh Kerajaan Persekutuan.
Darin Afra, 18: Saya sebagai pengundi baharu pada PRU-15 lalu, suara kami (belia) perlu didengari. Saya mengharapkan bantuan atau insentif pembelajaran diberikan kepada mahasiswa mahasiswi dan peluang pekerjaan yang mengutamakan kami setelah habis belajar di peringkat universiti kelak.
Oleh AZREEN KERIA