KANOWIT: Agensi Pembangunan Rascom (RASDA) akan ditubuhkan dengan peruntukan RM1.5 bilion dana daripada Kerajaan Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penubuhan RASDA akan menjadikan pembangunan di empat kawasan penempatan semula Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM) di Kanowit dan Selangau akan lebih sistematik.
“Kita beri kuasa kepada rakyat di peringkat akar umbi untuk membangunkan kawasan mereka dan bukan bergantung kepada sekretariat di Kuching.
“Justeru, melalui RASDA kita perlu merancang pembangunan kita. Sebelum ini kita tidak merancang dengan betul. Saya sangat adil (dalam pembangunan), Gabungan Parti Sarawak (GPS) sangat adil,” katanya berucap pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Andrew Karani, Nanga Ngungun Kanowit, petang tadi.
Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu menyatakan bahawa projek RASDA akan dirancang oleh wakil rakyat dari kawasan Selangau dan Kanowit bersama masyarakat setempat.
“Mereka akan merancang dan berbincang dengan masyarakat di kawasan termasuk menaik taraf jalan balak di kawasan berkenaan.
“Andalah yang lebih tahu jalan mana yang perlu diperbaiki. Orang di Kuching dan Malaya tidak tahu. Hanya orang Sarawak yang tahu apa yang kita mahu,” katanya sambil berseloroh.
Katanya, GPS akan mendapatkan lebih banyak peruntukan dari Kerajaan Persekutuan untuk pembangunan di Sarawak.
“Kita boleh minta lebih dana dari Kerajaan Pusat sebab kita bayar cukai. Sebelum ini kita tiada perancangan strategik, sekarang saya ada perancangan strategik untuk Sarawak supaya kita boleh bangunkan kawasan luar bandar kita,” katanya.
Pada majlis sama, Abang Johari turut menyampaikan peruntukan UNIFOR kepada Gereja Methodist Iban Kanowit (RM70,000) dan Gereja Methodist Rantau Dilang (RM30,000).
Abang Johari turut menyampaikan dua geran perniagaan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat bernilai RM5,000 setiap satu kepada dua penerima dan Kenyalang Gold Card kepada sembilan warga emas di kawasan itu.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana, ADUN Tamin Christopher Gira Sambang, ADUN Machan Allan Siden Gramong, calon kerusi Parlimen Kanowit, Datuk Aaron Ago Dagang serta yang lain.
Oleh AKUN GIMAN