LAWAS: Masyarakat minoriti perlu terus dibela dan hanya pemimpin yang memiliki keupayaan sahaja mampu melakukannya.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pemimpin yang berkeupayaan adalah mereka yang mewakili kerajaan memerintah sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan.
“Di sinilah kita memerlukan Gabungan Parti Sarawak(GPS) untuk terus membawa kemajuan, pembangunan dan program meningkatkan taraf hidup.
“Hanya GPS di Sarawak ini yang memiliki keupayaan membawa kesejahteraan berterusan sejak dahulu kepada rakyat,” katanya kepada media pada majlis penutupan program Hari Bersama Komuniti dan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia(PEDI) Merapok di Kampung Bangkatan Merapok, hari ini.
Awang Tengah berkata, Kerajaan Sarawak masih mempunyai banyak perancangan dalam usaha mengerakkan kehidupan rakyat luar bandar untuk terlibat sama dalam arus pembangunan.
Malah katanya, pendekatan ekonomi moden berasaskan digital turut digerakkan ke akar umbi bagi membantu meningkatkan ekonomi penduduk luar bandar supaya terlibat sama dalam ekonomi digital.
Hadir sama calon GPS bagi Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Pengiran Jawa dan Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok.
Oleh ADENG EDRUS