KOTA SAMARAHAN, 28 Oktober: Seramai 193 individu dan 167 kenderaan diperiksa dalam Op Bersepadu Cegah Jenayah yang dijalankan polis di sekitar Kota Samarahan, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Supt Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, operasi dari 10.00 pagi hingga 2.00 petang itu melibatkan 20 pegawai dan anggota polis.
Beliau berkata, operasi berkenaan merangkumi sekatan jalan raya di Jalan Kampung Rembus menghala ke Kota Samarahan, rondaan pencegahan jenayah di kawasan perumahan serta serbuan dan tangkapan di beberapa lokasi sekitar daerah itu.
Hasil operasi, polis mengeluarkan 11 saman dan menahan seorang lelaki tempatan yang disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Irwan Hafiz berkata, polis akan terus mempergiat operasi pencegahan jenayah bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Daerah Kota Samarahan.
Oleh Connie Chieng




