KUCHING: Tiga daerah di Sarawak dinaiki air banjir setakat 12.30 tengah hari ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menyatakan antara daerah yang terjejas ialah Beluru, Telang Usan dan Limbang.
Bagaimanapun, ketika berita ini ditulis, belum ada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di tiga daerah berkenaan.
“Di Beluru, sebanyak 12 kampung, sebuah klinik dan dua sekolah terjejas, manakala di Telang Usan (dua kampung dan tiga sekolah) dan di Limbang (32 kampung dan 20 sekolah,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, pada jam 7 pagi tadi, seramai 123 mangsa banjir ditempatkan di PPS Dewan Masyarakat Medamit, Limbang. Bagaimanapun, PPS ini telah ditutup pada pukul 11 pagi tadi.
Antara bahagian yang turut terjejas ialah di Sibu, Bintulu, Miri dan Limbang.
Bagaimanapun, menurut Pegawai Daerah Limbang, Superi Awang Said, PPS di Dewan Masyarakat Medamit telah ditutup pada 11.00 pagi.