KUCHING: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca baik di Sarawak pada hari mengundi untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di negeri ini esok hari.
Bagaimanapun, pemilih yang layak disyorkan untuk turun mengundi pada sebelah pagi berikutan jangkaan berlaku hujan dan ribut petir di sesetengah kawasan pada sebelah petang.
Pengarah Jabatan MetMalaysia Sarawak, Khairul Najib Ibrahim berkata cuaca mungkin sedikit berawan dan mendung tetapi tiada yang signifikan.
“Cuma sebelah petang jangkaan adalah sedikit hujan.
“Oleh itu, kami mengesyorkan pemilih-pemilih di Sarawak untuk mengundi pada sebelah pagi kerana dijangka hujan dan ribut petir pada sebelah petang,” katanya dalam program bual bicara Sejahtera Asia, terbitan TVS hari ini.
Antara kawasan yang diramalkan hujan ialah kawasan berdekatan pantai seperti Mukah dan Bintulu yang akan menerima hujan yang agak banyak.
“MetMalaysia hari ini juga telah mengeluarkan amaran peringkat kuning sejak semalam di Miri, Limbang dan sebahagian kawasan di Kapit namun dijangka akan berakhir pada lewat malam ini.
“Mengikut keadaan semasa, berkemungkinan besar di bahagian Miri, Limbang dan sebahagian kawasan di Kapit akan banjir kerana kita dapati cuaca banyak tertumpu di kawasan ini,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai untuk terus peka dengan cuaca semasa bagi memastikan keselamatan mereka terjamin sepanjang hari mengundi berlangsung.
Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua laman media sosial serta memuat naik aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat terkini dan sahih.
Oleh NUR AIN OTSMAN