TATAU: Industri minyak dan gas (O&G) hiliran di Tanjung Kidurong bakal memberi manfaat kepada limpahan ekonomi di Bintulu dengan gelombang kedua pembangunan yang dirancang menerusi industri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pada masa ini loji metanol milik Sarawak di Tanjung Kidurong sedang dibina.
“Kemungkinan akan menyusul loji kedua di sini. Malah Petronas dan Shell juga akan menubuhkan loji pemprosesan gas masam ‘sour gas’ di Tanjung Kidurong.
“Di samping itu, pihak Korea dan Jepun telah memberi komitmen untuk mendirikan loji bagi menghasilkan gas hidrogen yang akan dibeli balik oleh negara-negara ini.
“Saya yakin jika semua projek tersebut terlaksana, rakyat di Tatau juga akan mendapat manfaat daripada kesan limpahan projek-projek ini,”katanya.
Beliau berkata demikian pada program Sarawakku Sayang di Dewan Sukan Tatau pagi tadi. Teks ucapannya dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus, Datuk John Sikie Tayai.
Abang Johari berkata kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempunyai keupayaan untuk mengangkat ekonomi negeri ini melalui program perindustrian seperti yang boleh dilihat di kawasan Samalaju dan Tanjung Kidurong.