MUKAH: Tempoh masa perkhidmatan feri di tiga pangkalan di Bahagian Mukah dilanjutkan bagi memudahkan pergerakan orang ramai untuk pulang mengundi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ia membabitkan feri Kuala Igan, Muara Lassa dan Batang Paloh.
Perlanjutan masa operasi untuk feri Igan mulai hari ini hingga Ahad, 20 November ialah mulai jam 4.00 pagi hingga 12 tengah malam bagi feri satu, dan mulai jam 6.00 pagi hingga 1 pagi bagi feri kedua.
Bagi kedua-dua feri di Muara Lassa dan Muara Paloh pula mula beroperasi 6.00 pagi hingga 1.00 pagi, pada hari ini tetapi mulai esok hingga Ahad ini, beroperasi mulai jam 4.00 pagi hingga 1.00 pagi.
Jabatan Kerja Raya Bahagian Mukah melalui notis menyatakan waktu operasi feri itu dilanjutkan bagi mengurangkan kesesakan kenderaan dan memendekkan masa menunggu sempena PRU-15.
Selain itu, ia juga untuk memberi laluan kepada pengguna menunaikan tanggungjawab mengundi serta memberi ruang proses demokrasi berjalan baik.
Dalam pada itu, pengguna feri juga dinasihatkan supaya merancang jadual perjalanan serta sentiasa mematuhi prosedur operasi standard feri (SOP) dan mengikut arahan petugas feri.