MUKAH: Bas yang menawar tambang RM1.00 bagi perkhidmatan perjalanan Mukah-Sibu menjadi tumpuan orang ramai terutama daripada golongan B40, sejak semalam.
Segelintirnya mahu pulang untuk mengundi esok, bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) termasuk pelajar dari pelbagai institusi pengajian tinggi di sini.
Salah seorang penumpang yang hanya dikenali sebagai Kakak Estherie menyatakan bahawa tiket sudah habis dijual dan ia hanya ada pada esok hari.
“Dengan penuh yakin saya dan emak pergi ke kaunter pada petang semalam untuk beli tiket bas dari Mukah ke Sibu.
“Kami ke kaunter sekitar 2.00 petang kerana bas dijadualkan berangkat setengah jam kemudian. Namun hasrat itu terpaksa dilupakan kerana tiket bas sudah habis dijual.
“Saya terus pergi ke kaunter terminal bas Lanang kerana ia menawarkan harga hanya RM1.00 bagi satu perjalanan ke Sibu dari Bandar Mukah atau sebaliknya.
“Saya pun bertanya mengenai tiket untuk perjalanan pada Jumaat (hari ini) dan petugas di kaunter kata tiket bas hanya ada pada Sabtu (esok) iaitu hari mengundi.
“Pada mulanya saya amat yakin untuk pergi ke Sibu pada petang Khamis itu kerana ia belum lagi cuti umum. Patutlah setiba saya di sana bas sudah kelihatan bersedia hendak berangkat, tidak menunggu jadual lagi kerana sudah penuh,” katanya.
Difahamkan, kebanyakan penumpang petang semalam adalah pelajar Institusi Pengajian Tinggi di Mukah ini.
Tawaran RM1.00 oleh syarikat Bas Lanang sudah berkuat kuasa mulai 1 Oktober lalu.
Seorang pekerja syarikat bas itu memberitahu tambang RM1.00 itu adalah inisiatif kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membantu rakyat yang kurang berkemampuan.
Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan peluang itu sebaik mungkin kerana ia banyak membantu terutama sekali bagi yang kurang berkemampuan.
Oleh HENRY B SIYU