LAWAS: Masyarakat Lun Bawang perlu menjauhkan diri daripada ‘scammer politik’ (penipuan politik) yang bukan sahaja memecah belahkan mereka, malah akan menyisih mereka jauh daripada kumpulan majoriti lain.
Bekas Ahli Parlimen Bukit Mas, Datuk Mutang Sakai Tagal yang juga Duta Khas Malaysia ke Romania berkata masyarakat Lun Bawang perlu berfikir secara rasional dalam berpolitik.
“Mereka perlu mengelak daripada terjebak dalam perangkap politik untuk peribadi calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Baru Bian yang bukan sahaja telah melompat banyak parti malah melompat kawasan.
“Perjuangan ini dilihat sebagai perjuangan peribadi kerana ingin terus menjadi wakil rakyat tetapi tidak ada keikhlasan dalam membantu rakyat.
“Kita lihat masyarakat kaum Bisaya, Kedayan, Iban dan Melayu yang berada dalam arus politik perdana hingga membawa mereka kepada kemajuan.
“Kita perlu bersama dengan kumpulan yang besar ini dan tidak boleh mengasingkan diri daripada kelompok majoriti atas sebab sebuah parti yang hanya mempertaruh 10 kerusi Parlimen berbanding Gabungan Parti Sarawak (GPS) 31 kerusi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada siri jelajah ranting-ranting GPS di Gaya, Long Lempaki dan Natad Musu di sini.
Baru Bian kini ‘lari’ bertanding kerusi Parlimen Lawas mewakili PSB mencabar penyandangnya, Datuk Henry Sum Agong, yang mewakili GPS. Seorang lagi calon ialah Japar Suyut (PH-PKR).
Mutang juga mahu seluruh rakyat Sarawak yang layak mengundi untuk bersatu bersama GPS pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memenangi semua 31 kerusi Parlimen.
“Ini bagi menjamin kedudukan GPS sebagai kuasa yang akan menentukan hala tuju politik Malaysia.
“Kita mesti menang besar jika mahu dihormati dan didengar oleh mana-mana pakatan di Semenanjung yang akan membentuk kerajaan. Biar orang Sarawak menjadi penentu kerajaan di negara ini,” katanya.
Turut hadir ialah Dato Henry Sum dan Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Pengiran Jawa.
Oleh ADENG EDRUS