BAU: Pekebun kecil di Kampung Tringgus Matan Nguan, di sini kini mendapat manfaat berikutan pembinaan jalan di bawah Projek Jalan Ladang Pekebun Kecil (JLPK).
Timbalan Menteri Perusahaan Peladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin berkata kos bagi pembinaan jalan itu membabitkan dana RM394,000.
Katanya, kemudahan itu akan memudahkan akses kepada penduduk di kawasan berkenaan untuk menjalankan perusahaan tanaman lada.
“Selain itu, ia (jalan ladang) juga diyakini mampu mempergiatkan lagi ekonomi penduduk setempat dalam penanaman lada.
“Selain itu, pembinaan jalan ladang ini juga boleh membuka jalan bagi penempatan baharu untuk keperluan penduduk membina rumah baharu dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Pemerkasaan Penggiat Industri Lada di Dewan Kampung Tringgus Mantan Nguan, di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, Willie berkata bagi tempoh dua tahun pertama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu dari 2021 hingga 2022, tiga projek pembinaan jalan ladang telah dan sedang dibina di kawasan Parlimen Puncak Borneo dengan kos RM1.27 juta.
“Jumlah ini (projek pembinaan jalan ladang) tidak melibatkan kementerian lain seperti Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
“Pembinaan tiga jalan ladang dari 2021 hingga 2022 ini merupakan projek Kementerian Perusahaan Peladangan dan Komoditi, yang sudah membina 13 jalan ladang,” katanya yang juga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Parlimen Puncak Borneo.
Terdahulu, Willie turut menyaksikan penyerahan baucar berjumlah RM158,600 untuk Skim Tanaman Lada Baharu (STLB) dan RM144, 300 untuk Skim Tanaman Lada Matang (STLM) kepada 152 pekebun kecil lada di Parlimen Puncak Borneo.
Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh dan Pengerusi Lembaga Lada Malaysia, Baharuddin Dato’ Mokhsen.
Oleh RYNNA SHA’ERRA