KUCHING: Sudah tiba masanya negara ini ditadbir oleh sebuah Kerajaan Pusat yang stabil setelah krisis demi krisis tercetus dalam episod penggal lalu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata sudah terlalu banyak krisis berlaku sehingga menyaksikan pertukaran tiga perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
“Kerajaan Pusat yang kukuh penting bagi membolehkan Malaysia berdepan kemelesetan ekonomi global yang dijangka berlaku tahun depan.
“Dengan mempunyai sebuah kerajaan yang kukuh, setiap permasalahan dapat diatasi. Kita di sini (GPS) adalah untuk memajukan negara dan rakyat,” katanya pada program ‘Untukmu Malaysia’ yang disiarkan secara langsung di TV1 malam ini.
Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata beliau turut bimbang, berkemungkinan keadaan ekonomi akan menjadi tidak begitu baik tahun depan kerana kemelesetan.
“Oleh itu, kita mesti memerlukan sebuah Kerajaan Pusat yang stabil selepas PRU-15 nanti,” katanya.
Katanya, GPS hanya mahukan Kerajaan Pusat yang stabil selepas PRU-15 untuk menggerakkan negara dan menjalankan tugas demi rakyat.
“Ketika negara berdepan Covid-19, kerajaan Sarawak turut memainkan peranan penting di mana kita telah membelanjakan sebanyak RM6.7 bilion dalam masa dua tahun dengan menggunakan duit Sarawak sendiri.
“Selain dari vaksin yang diberi oleh Kerajaan Pusat, kita turut menjalankan program bakul makanan (bantuan), menyediakan pusat atau tempat kuarantin dan sebagainya. Semua ini dari sumber duit kerajaan Sarawak sendiri,” katanya.
Oleh AZREEN KERIA