SIBU: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meluluskan peruntukan RM50 juta untuk projek melebarkan Jalan Oya sepanjang 1.2 kilometer di sini.
Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu turut meluluskan pembinaan sebuah kolam renang di Sibu Jaya untuk kegunaan orang ramai di bandar baharu tersebut.
Premier Sarawak mengumumkan berita gembira itu selepas menerima surat permohonan daripada calon GPS bagi kerusi Parlimen Sibu Clarence Ting dan Parlimen Lanang, Wong Ching Yong pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Ulu Sungai Merah, di sini malam tadi.
Abang Johari berkata, projek Jalan Oya Bahagian Sibu Fasa 2 sejauh 1.2 kilometer dengan kos RM50 juta.
“Tahun depan kita ada bajet tambahan, jadi kita luluskan RM50 juta ini.
“Untuk Sibu Jaya pula, budak sana mahu belajar berenang. Wong minta kita bina kolam renang. Bolehlah, kita sudah ada stadium di sana, kita akan buat kolam renang ini,” katanya sambil menerima tepukan gemuruh hadirin yang hadir.
Katanya, beliau akan memberi kuasa kepada wakil rakyat GPS di Sibu untuk tampil dengan idea baharu bagi mentransformasi bandar ini.
“Saya akan cuba cari wang dan kita sama-sama bangunkan Sibu yang baharu. Saya cakap betul-betul bukan seperti orang lain. Hari ini cakap lain, esok cakap lain.
“Jika GPS rancang, kita rancang betul-betul. Kita mempunyai masa depan yang cerah kerana kita ada sumber,” katanya.
Abang Johari meminta rakyat Sarawak agar tidak berpecah belah sebagaimana yang berlaku di Semenanjung Malaysia.
“Saya menyeru pengundi di Sibu dan Lanang memberikan sokongan kepada kedua-dua calon GPS agar menjadi suara mereka di Dewan Rakyat,” katanya.
Mengenai projek Lebuh Raya Pan Borneo, Abang Johari memberitahu, projek besar dibiayai Kerajaan Persekutuan itu adalah cetusan idea Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.
“Projek Pan Borneo sepatutnya sudah siap sekarang, namun disebabkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal melaksanakan projek mengikut jadual semasa 22 bulan berkuasa. Kalau tidak dahulu sudah siap Pan Borneo Sarawak ini,” katanya.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Dr Annuar Rapaee.
Oleh AKUN GIMAN