LIMBANG: Dasar kerajaan Gabungan Parti Sarawak(GPS) adalah untuk semua dengan tidak meminggirkan kaum Penan yang jauh di pedalaman.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata masyarakat Penan turut mempunyai peranan dalam pembangunan negeri ini dan menyumbang dalam aspek modal insan serta kemahiran.
Katanya, kerajaan sentiasa mengalak kaum Penan supaya terlibat aktif dalam proses pembangunan.
“Sarawak tidak pernah meminggirkan kebajikan kaum Penan kerana dasar kita untuk membangunkan semua masyarakat,dengan pelaksanaan pelbagai program pembangunan,”katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan warta Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri, Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri dan cek pampasan tanah keseluruhan bernilai RM2.2 juta bagi Projek Pembinaan Jalan Baharu Rangau ke Kuala Limbang, semalam.
Turut sama ialah calon GPS Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah, Residen Limbang Sebi Abang, Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said, Timbalan Pengarah Pengurusan Awang Zamhari Awang Mahmood dan tetamu lain.
Awang Tengah berkata, kerajaan Sarawak sudah lama berjuang untuk menjaga kebajikan dan meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat Penan di Sarawak.
“Kerajaan menyedari kaum Penan banyak memberi sumbangan kepada pembangunan kerana mereka dilihat sebagai aset penting yang mampu menyumbang kepada landskap dan struktur pembangunan negeri ini,” katanya.
Beliau tidak mahu stigma kaum Penan masih jauh ke belakang sebaliknya jika mereka berusaha, kaum itu juga mampu setanding dengan kaum lain di Sarawak.
Katanya, pelbagai bantuan daripada agensi kerajaan disediakan kepada kaum itu termasuk membina kemudahan asas seperti jambatan gantung, rumah, bantuan pertanian, skim bantuan untuk anak-anak sekolah dan bantuan lain.
Pada majlis itu penyerahan warta Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri melibatkan kawasan Tedungan, Bidang, Terumba, Paya Megaliong, dan Lembuak manakala Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri diserahkan membabitkan Kampung Berawan Limbang dan Kawasan Melajan Limbang.
Oleh ADENG EDRUS