SIMANGGANG: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus berjuang sebaik mungkin untuk meraih sokongan rakyat di Parlimen Sri Aman sehingga tiba hari pengundian Sabtu ini untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.
Calonnya, Dato Sri Doris Sophia Brodie berkata beliau bersama jentera GPS akan bertindak menggembleng sepenuh tenaga sepanjang tempoh tiga hari ini untuk bertemu rakyat sama ada di kawasan dalam atau luar bandar sebelum tiba hari pengundian.
“Pihak kami tidak mahu menaruh keyakinan yang begitu tinggi untuk mencatat kemenangan. Namun, kita akan memafaatkan sepenuhnya baki tiga hari ini untuk berkempen.
“Kita akan berdepan cabaran yang sukar daripada semua calon lawan dengan penuh berani untuk memastikan kerusi Parlimen Sri Aman menjadi milik GPS,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas meninjau proses pengundian awal membabitkan warga Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman bagi Parlimen Sri Aman dan Parlimen Batang Lupar di sini hari ini.
Doris adalah calon muka baharu GPS yang bersaing dengan calon Bebas, Datuk Masir Kujat yang berusaha mempertahankan kerusi itu untuk penggal keempat. Dua lagi calon ialah Wilson Entabang dari
Parti Sarawak Bersatu (PSB), dan Tay Wei Wei dari Parti Keadlan Rakyat (PKR).
Mengenai perjalanan undian awal hari ini, Doris mendapati ramai warga IPD Sri Aman menunaikan tanggungjawab mengundi awal bagi Parlimen Sri Aman pada pagi tadi atas faktor syif bekerja berbanding dengan Parlimen Batang Lupar.
“Bagaimanapun saya berharap agar proses pengundian awal bagi Parlimen Sri Aman dan Parlimen Batang Lupar berjalan dengan penuh lancar dan berkesan dalam kalangan anggota di sini,” katanya.
Oleh VALENTINE NGUMBANG