SIBU: Proses pengundian awal bagi kerusi Parlimen Sibu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu berjalan lancar, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata, seramai 597 pegawai dan anggota IPD Sibu turun menunaikan tanggungjawab masing-masing di pusat mengundi Wisma Pengaman IPD Sibu dan Balai Polis Sibujaya.
“Proses pengundian awal IPD Sibu bermula jam 8 pagi hingga 5 petang. Kita semua sihat sejahtera, kita mengikut semua arahan prosedur operasi standard (SOP) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau turut melahirkan perasaan bersyukur kerana tiada sebarang kes berlaku bermula daripada hari penamaan calon.
“Kita bersyukur atas kematangan masyarakat di Sibu memberi kerjasama kepada pihak polis untuk memastikan keselamatan awam terpelihara.
“Keadaan sebegini harus dikekalkan sepanjang tempoh berkempen sehingga hari mengundi nanti dan selepas pilihan raya. Ketenangan proses mengundi, itu yang paling penting.
“Secara keseluruhan untuk bandar Sibu kita mempunyai kekuatan kira-kira lebih 700 orang pegawai dan anggota dalam proses pengundian kali ini,” katanya.
Di samping itu, kata beliau pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memastikan keamanan proses pengundian pada 19 November nanti.
Oleh AKUN GIMAN