KUCHING: Penghuni dan penyewa flat Taman Dahlia di sini disaran supaya membentuk sebuah badan bertindak bagi mengatasi semua permasalahan dihadapi.
Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof berkata dengan badan bertindak itu nanti diharap dapat membawa semua masalah dihadapi penduduk untuk diajukan kepada pihak berkenaan.
“Saya harap badan bertindak ini dapat segera dibentuk supaya semua permasalahan yang dihadapi penduduk pangsuri ini dapat diselesaikan dengan pihak berwajib.
“Yang penting gerakkan jentera badan bertindak ini,” katanya pada majlis silatulrahim dan suaikenal penghuni Bloc C, Flat Taman Dahlia di sini malam tadi.
Pada majlis itu, sesi dialog turut diadakan dengan pelbagai isu dibangkitkan termasuk masalah kawasan letak kereta, sewa flat dan lampu jalan raya.
Fadillah yang juga penyandang dan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Parlimen Petra Jaya berkata, badan bertindak itu nanti juga boleh mengenal pasti isu tempat letak kereta.
Mengenai isu sewa beli flat itu yang banyak dibincangkan oleh penghuni selama ini, beliau akan mencari jalan bagaimana flat sewa itu boleh ditukarkan kepada konsep sewa beli kerana ia membabitkan dasar yang perlu dibincangkan dengan pihak berkenaan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa akan wujud cabaran setelah penghuni diberikan hakmilik strata untuk memiliki sepenuhnya rumah pangsapuri itu.
“Isu seperti ini banyak berlaku di Kuala Lumpur berhubung masalah penyengaraan dimana pemilik hakmilik strata ini perlu membayar untuk perkhidmatan penjagaan dan pembaikan rumah yang akan diberikan kepada syarikat swasta.
“Jika syarikat yang dilantik bagus, insyaAllah tidak akan menimbulkan masalah. Oleh itu, penghuni flat cuba kenal pasti punca masalah seperti ini agar tidak berlaku disini. Akan timbul masalah setelah diberikan hak milik penuh rumah,” katanya.
Untuk tujuan ini beliau bercadang supaya majlis pertemuan diadakan selepas pilihan raya nanti bagi membincangkan tindakan seterusnya berhubung perkara berkaitan.
“InsyaAllah kita akan dapat mengadakan pertemuan sekali lagi selepas pilihan raya ini. Saya berjanji akan membawanya kepada pihak Suruhanjaya Perumahan atau kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia (KPKT) dan lain-lain pihak berkaitan dalam sesi pertemuan itu nanti,” katanya.
Mengenai pilihan raya ini, beliau menyatakan keyakinannya bahawa mereka yang hadir itu ternyata adalah penyokong tegar Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Tak perlu saya berkempen, cukup dengan melihat wajah anda semua saya tahu yang hadir di sini adalah penyokong kuat GPS,” katanya.
Majlis anjuran Jawatankuasa Penghuni Flat Blok C itu bertujuan untuk mengeratkan lagi kerjasama dan saling memahami diantara penghuninya.
Ini adalah julung kalinya program seperti itu dianjurkan berikutan kejayaan program gotong-royong membersih kawasan dan memperbaiki sistem elektrik di tingkat bawah pangsapuri berkenaan yang selama ini nampak begitu malap setelah beberapa lampunya tidak berfungsi dan sebahagian kawasan dalam keadaan gelap gelita.
Fadillah turut diiringi isterinya dan ketua masyarakat setempat.
Oleh Abg Zainoreen Jess