KUCHING: Beri sokongan padu kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada 19 November ini, seperti mana rakyat beri sokongan mantap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Disember lalu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Openg berkata sokongan padu itu perlu diteruskan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.
“Ulangi sokongan kepada GPS meskipun tidak dapat membentuk Kerajaan Persekutuan menerusi 31 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Sarawak.
“Ini perlu bagi mengukuhkan suara Sarawak di Dewan Rakyat. Sekarang ini kita berkehendakkan kerajaan yang kuat di peringkat Persekutuan, walaupun kita tidak mempunyai 222 kerusi Parlimen, tetapi pastikan 31 kerusi ini boleh menguatkan Kerajaan Persekutuan.
“Sebab itu saya memohon supaya suara Sarawak kuat dan kita sama-sama membangunkan negara Malaysia yang makmur untuk masa depan,” katanya dalam program Bicara Hati Rakyat Bersama Premier Abang Jo terbitan TVS yang disiarkan malam ini.
Abang Johari berkata kemenangan 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN-12 telah mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai kerajaan negeri yang stabil, membolehkan program dan projek pembangunan untuk manfaat rakyat dirancang serta dilaksanakan.
Mengenai perjuangan GPS, beliau berkata gabungan parti itu sentiasa membuka ruang dan mengetengahkan calon-calon muda pada pilihan raya.
Beliau mengambil contoh, Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Dato Sri Rohani Abdul Karim yang secara sukarela berundur daripada dicalonkan semula pada PRU-15.
Pada PRU kali ini, GPS mengetengahkan calon muda iaitu Mohamad Shafizan Kepli, 37, di Parlimen Batang Lupar dan Rodiyah Sapiee, 44, di Parlimen Batang Sadong.