KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak (IPK) petang tadi.
Beliau hadir ke IPK Sarawak bagi mendengar taklimat dan keperluan bantuan sumber manusia dalam persediaan menghadapi cuaca Monsun Timur Laut (MTL) yang disampaikan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mohd Azman Ahmad Sapri di bilik mesyuarat IPK Sarawak.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar.
Terdahulu, Premier Sarawak menerima tabik hormat oleh kawalan kehormatan terdiri daripada pegawai dan anggota Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia ( PULAPOL ) Kuching, di perkarangan kawad IPK Sarawak sejurus ketibaan beliau.
Beliau sambil diiringi Pesuruhjaya Polis Sarawak turut dibawa melihat bilik kawalan sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) PDRM Kontinjen Sarawak sejurus taklimat selesai.
Turut hadir pada taklimat itu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Dato Mancha Ata serta barisan Ketua-Ketua Jabatan dan Formasi PDRM Kontinjen Sarawak.
Pada lawatannya juga, Abang Johari turut menyampaikan cek sumbangan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak yang diwakili Pesuruhjaya Polis Sarawak sebelum penyampaian cenderahati di Mes Pegawai Kanan IPK Sarawak.
Oleh NUR AIN OTSMAN