SPAOH: Pembangkang termasuk calon Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sekarang berusaha mengurangkan perwakilan dari Sarawak di Parlimen.
Pengarah Pilihan Raya Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas mendedahkan bahawa ia taktik mereka untuk menewaskan calon gabungan empat parti ini.
“Oleh itu mereka patut ditolak kerana cita-cita dan rancangan jahat mereka itu. Kita tidak boleh membenarkan sebarang percubaan untuk mengurangkan perwakilan kita dari Sarawak di Parlimen. Kita akan melawan habis-habisan semua percubaan itu.
“Kita (GPS) mahu mempunyai jumlah yang besar, lebih banyak lagi bagus. Mereka akan berada di sana (Parlimen) sebagai pelindung kepentingan dan hak kita terutama dalam memulihkan hak yang terhakis di bawah Perjanian Malaysia 1963 (MA63),” katanya ketika merasmikan Festival Makanan dan Kraf Biro Wanita PBB Betong di sini hari ini.
Aktiviti yang disertai Biro Wanita dari 94 rumah panjang di Bukit Saban itu diadakan di rumah panjang Uggah Rh Mendit Unsu di Penom.
Bekas Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat adalah antara yang menghadiri majlis itu.
Timbalan Premier Sarawak itu turut mengingatkan rakyat bahawa kerajaan GPS sentiasa bersama mereka, menjaga dan berkhidmat sepanjang masa.
“Lihatlah calon pembangkang yang kalah dalam pilihan raya negeri tahun lalu. Di mana mereka sekarang?
“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum 2018 juga telah membuat banyak janji manis tetapi ia kekal sebagai janji semata-mata. Mereka (PH) melayan Sarawak dengan teruk dan telah membatalkan banyak projek yang sangat penting kepada rakyat,” katanya.
Katanya, PRU-15 ini amat penting kepada Sarawak kerana ia bertujuan untuk mempunyai seramai mungkin Ahli Parlimen GPS di Dewan Rakyat.
Calon GPS Parlimen Betong Dr. Richard Rapu dalam ucapannya pula sekali lagi menegaskan beliau akan menjadi wakil rakyat untuk semua kaum jika menang.
“Saya akan melakukan bahagian saya untuk memuji usaha yang dilakukan oleh ADUN Layar, Bukit Saban dan Saribas dalam membawa lebih banyak pembangunan dan kemajuan ke Betong.
“Tolong undi saya sebagai wakil GPS. Mari kita kuatkan GPS. GPS adalah untuk melindungi Sarawak dan berkhidmat kepada semua rakyat Sarawak.
“Pilihan Raya Umum Ke-15 ini adalah untuk GPS membantu dalam membentuk Kerajaan Persekutuan yang kukuh dan stabil,” katanya.
Oleh ADI SAFARMAN