SIBURAN: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin menggunakan manifesto GPS dan Parlimen Puncak Borneo sebagai sandaran untuk memenangi pengundi.
Beliau berkata, berikutan penambahan jumlah pengundi di kerusi tersebut susulan pelaksanaan undi18 dan pendaftaran pengundi secara automatik, maka setiap pengundi perlu disantuni.
“Penambahan pengundi adalah seperti dijangka kerana semua Parlimen turut menyaksikan penambahan pengundi.
“Penambahan di Puncak Borneo sebanyak 33 peratus, cukup besar. Justeru, diharap mereka memberi sokongan kepada calon GPS supaya kita mempunyai kekuatan di Parlimen untuk memperjuangkan hak Sarawak,” katanya ketika ditemui pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Malam Mesra Rela Puncak Borneo yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn di Dewan Masyarakat Tapah, di sini malam tadi.
Untuk rekod, Parlimen Puncak mempunyai seramai 79,969 pengundi berdaftar untuk PRU-15.
Sehubungan itu beliau berkata, pelbagai perancangan telah dirangka untuk direalisasikan bagi penduduk Puncak Borneo khasnya golongan belia.
Pada majlis sama, Willie dalam ucapannya meminta 5,000 anggota Rela menunaikan tanggungjawab mereka untuk turun mengundi pada 19 November ini.
Oleh Mohd Neenatul Aizal