JERMAN BUNDESLIGA
KAI Havertz menjaringkan dua gol ketika Bayer Leverkusen mengakhiri pusingan pertama perlawanan Bundesliga dalam tempoh lebih dua bulan dengan kemenangan 4-1 di Werder Bremen semalam yang membolehkan mereka berada satu mata di belakang empat pasukan teratas.
Pasukan pelawat menghadapai perlawanan ini hanya empat mata di belakang RB Leipzig di tempat keempat setelah pasukan yang turut berharap untuk turut layak ke Liga Juara-Juara UEFA itu seri 1-1 dengan Freiburg pada hari Sabtu, ketika Bundesliga menjadi liga Eropah utama pertama disambung semula semasa wabak Covid-19.
Pemain tengah Havertz, yang dilaporkan menjadi sasaran perpindahan beberapa kelab terbesar di Eropah termasuk Liverpool dan Barcelona, mempamerkan aksi bintang di Weserstadion yang kosong.
Dia telah menjaringkan 12 gol dalam semua pertandingan musim ini, dengan menjaringkan 20 gol musim lalu.
Ia merupakan kemenangan ke-10 Leverkusen dalam 11 perlawanan, tetapi kemenangan pertama mereka sejak menang 3-1 di Rangers dalam peringkat 16 pasukan terakhir Liga Europa, 16 Mac lalu.
Selepas permulaan permainan yang perlahan dalam suasana yang menyeramkan seperti semua perlawanan hujung minggu, dengan semua permainan dimainkan dalam stadium kosong, pertemuan itu meledak dengan tiga gol dalam tempoh lima minit.
Pemain berusia 20 tahun Havertz meletakkan Leverkusen di hadapan pada minit ke-28, sebelum pertahanan kanan Bremen, Theodor Gebre Selassie menyamakan kedudukan.
Tetapi Havertz mengembalikan kelebihan Leverkusen tiga minit kemudian dengan satu lagi tandukan, hasil sepakan percuma Kerem Demirbay.
Pasukan Peter Bosz melengkapkan kemenangan selesa dengan dua gol babak kedua menerusi Mitchell Weiser dan Demirbay.
Kekalahan berat ini mengekalkan Bremen dalam zon penyingkiran, lima mata di bawah tempat ‘play-off’ penyingkiran dan sembilan di bawah zon selamat, walaupun bermain kurang satu perlawanan.
Bremen hanya menghabiskan satu musim, kempen 1980-81, di luar divisyen satu Jerman sejak terbentuknya Bundesliga pada tahun 1963. – AFP