PUSA: Jentera parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu bekerja keras untuk memastikan calon mereka dikenali oleh semua pemilih berdaftar di kawasan Parlimen Batang Lupar pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor berkata, usaha berkenaan penting agar pemilih berdaftar di Parlimen Batang Lupar tidak tersalah memangkah calon yang sepatutnya semasa proses pembuangan undi.
“Apa yang merisaukan saya ketika ini adalah jika ada para pemilih berdaftar di Parlimen Batang Lupar sehingga sekarang masih tertanya-tanya mengenai siapakah calon (GPS)?
“Saya harap perkara ini dapat ditangani segera dengan berbakikan masa kempen yang ada sekarang ini. Jentera GPS harus melipatgandakan gerak kerja untuk mendekati pengundi dan paling penting sekali ialah mereka tahu siapa calon yang harus dipangkah,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian pada sesi perjumpaan bersama ranting PBB di Dewan Rahmaniah dekat sini, kelmarin.
Selain itu, jentera GPS katanya, juga perlu menjelaskan dengan mudah kepada pengundi terutama golongan muda yang pertama kali mengundi dan kelompok warga emas mengenai calon mereka.
“Bagi Parlimen Batang Lupar, nama calon dan logo GPS berada di kotak pertama atau paling atas. Terangkan kepada pemilih berdaftar agar memangkah ruang kotak (calon nombor satu) itu sambil mengabaikan kotak yang berada di bawahnya.
“Buka kertas undi, pangkah dalam kotak paling atas dan kemudian balik. Tidak usah memeningkan kepala,” katanya sambil berharap kesemua 43,072 pemilih berdaftar di Parlimen Batang Lupar agar ‘seperahu’ dengan GPS.
Selain data daripada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Razaili juga mendapati seramai 2,746 pemilih berdaftar berusia 18 hingga 20 tahun di Parlimen Batang Lupar manakala 18,185 pemilih berdaftar lagi berusia dari 21 hingga 39 tahun.
“Data ini secara tidak langsung menunjukkan orang muda menjadi penentu dengan fokus perlu diberikan kepada mereka yang turun mengundi buat pertama kali pada pilihan raya nanti.
“Jika Presiden GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi kepercayaan kepada calon muda termasuk Mohamad Shafizan Kepli maka begitulah kita agar menterjemah dan menyokong keputusan pucuk pimpinan parti,”katanya.
Beliau mengharapkan keputusan PRU-15 di Sarawak lebih baik terutama iltizam memiliki kesemua 31 kerusi Parlimen yang dipertaruhkan.
Hadir sama pada sesi perjumpaan bersama ranting PBB berkenaan adalah calon GPS Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli.
Oleh VALENTINE NGUMBANG