KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang mengkaji kemungkinan menaikkan gaji kakitangan awam negeri sebagai satu cara untuk menghentikan perbuatan rasuah.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pendekatan sedemikian adalah serupa dengan apa yang diamalkan di Singapura.
“Penjawat awam tidak dibayar gaji yang mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Ini sekali gus, menimbulkan kecenderungan untuk meminta-minta, wang di bawah meja, salah guna kuasa dan sebagainya,” katanya berucap pada majlis perasmian Hari Integriti Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC) di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, kenaikan gaji memerlukan kajian teliti kerana kerajaan negeri tidak boleh begitu sahaja mewujudkan jawatan atau mewujudkan sistem gaji.
“Malah faedah pencen sendiri tanpa tertakluk kepada perkhidmatan awam persekutuan.
“Semua jawatan berpencen tertakluk kepada kelulusan Jabatan Perkhidmatan Persekutuan (JPA) kerana pencen dibayar oleh Kerajaan Persekutuan.
“Tetapi saya fikir kita mempunyai jalan untuk mengatasi masalah ini untuk memintas keperluan untuk tertakluk kepada JPA dan dengan syarat kita mempunyai ekonomi yang kukuh,” katanya.
Beliau juga berkata, penyediaan Rang Undang-undang untuk menubuhkan dana kekayaan akan diperkenalka pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula 21 November ini.
“Saya akan memperkenalkan tabung kedaulatan, yang juga termasuk dana wakaf.
“Oleh itu, saya berbangga untuk menyebut bahawa Sarawak telah membina asas yang kukuh dengan objektif yang jelas dalam menangani rasuah, tadbir urus dan integriti,” katanya.
Oleh AZREEN KERIA